Followers

Tuesday 19 February 2013

Bumbung Kolam Air Loji Sungai Langat Akan Runtuh ??!!


KUALA LUMPUR – Dianggarkan hampir 1.6 juta penduduk bandaraya Kuala Lumpur dan daerah Ulu Langat bakal berhadapan dengan masalah terputus bekalan air sehingga berbulan-bulan tidak lama lagi.

Ini berikutan sikap kerajaan negeri Selangor yang berdegil tidak mahu memberikan kelulusan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk memulakan kerja-kerja membaiki bumbung kolam air di Loji Rawatan Air Sungai Langat yang berada dalam keadaan yang sangat kritikal.

Mynewshub.my difahamkan, Syabas sudah tiga kali mengemukakan permohonan memperbaiki bumbung berkenaan tetapi ditolak kerajaan negeri yang dilihat lebih berminat untuk meraih faedah politik daripada isu air di negeri itu.

Lebih menyedihkan, Syabas sudah pun menyediakan peruntukan sendiri bagi kerja-kerja pembaikkan dan kerajaan negeri hanya perlu memberikan lampu hijau kepada syarikat air berkenaan.

“Arahan pembangunan  (DO) untuk membina kolam air bersih sementara di kawasan yang sama terletak di tangan kerajaan negeri, jadi mereka penentu kepada pergerakan projek ini,” kata sumber kepada Mynewshub.my ketika dihubungi di sini semalam.

Kolam sementara perlu dibina bagi menyalurkan air dari loji sedia ada sebelum pembaikkan boleh dilakukan ke atas kolam air bersih yang uzur itu.

Beberapa keping gambar yang diperoleh Mynewshub.my secara eksklusif di bawah memberikan gambaran jelas keadaan bumbung kolam air di Loji Rawatan Air Sungai Langat yang memerlukan perhatian segera bagi mengelakkannya dari runtuh.

Sekiranya bumbung berkenaan gagal bertahan, 1.6 juta penduduk akan berhadapan dengan krisis yang jauh lebih buruk berbanding dengan kerosakan rumah pam Wangsa Maju bulan lalu.

Menurut sumber, punca kedegilan kerajaan negeri Selangor itu amat mudah untuk difahami.

“Dalam keadaan di mana semua pihak tahu ada pergeseran antara Kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam isu pengurusan air, pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim menggunakan segala peluang yang ada untuk mengenakan kerajaan pusat,” katanya.

Kolam Air di Loji Rawatan Air Sungai Langat membekalkan air bersih sejumlah 2 juta gelen setiap hari.

Sikap berpolitik kerajaan Selangor itu pernah ditegur Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui melalui satu kenyataan media hujung Januari lalu.

“Sekiranya bumbung kolam air tersebut runtuh, sekurang-kurangnya 1.6 juta orang penduduk di sekitar Ulu Langat dan sebahagian daripada Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air yang dijangka berterusan untuk jangka masa yang panjang hingga mencecah berbulan-bulan.

“Dalam erti kata lain, negeri Selangor akan menghadapi krisis air yang besar sekiranya tindakan segera tidak diambil untuk membaiki bumbung kolam air tersebut,” katanya.

Beliau berkata, isu bumbung kolam air di Loji Rawatan Air Sungai Langat hanyalah merupakan sebahagian daripada halangan-halangan yang dihadapi oleh Kerajaan Persekutuan dalam berurusan dengan Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan rakyat mendapat bekalan air yang mencukupi tanpa sebarang gangguan.

“Oleh itu, saya menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sama ada Kerajaan Negeri Selangor benar-benar serius untuk menyelesaikan masalah rakyat atau lebih berminat untuk mempolitikkan isu air ini dengan mengaitkan masalah ini dengan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di negeri Selangor,” keluh beliau.

Gambar-gambar link di bawah menceritakan dengan jelas betapa situasi di Loji Rawatan Air Sungai Langat tidak boleh lagi diteruskan sebagai agenda politik kerajaan negeri Selangor melainkan mahu melihat 1.6 juta rakyat menjadi mangsa.

Lagi Gambar Klik Sumber


UrukHai.

No comments:

Post a Comment