Followers

Thursday 11 April 2013

Pakar Ekonomi Puji Manifesto BN !! #VoteBN #PG13 #ManifestoBN #PRU13 #GE13


Bertempat di Stadium Putra Bukit Jalil, Barisan Nasional pada 6 April lalu telah dengan secara rasmi mengumumkan manifestonya di hadapan lebih 25,000 penyokong yang hadir serta jutaan lagi yang menyaksikannya menerusi siaran langsung yang dibawakan oleh beberapa stesyen televisyen tempatan.

Ketika mengumumkannya, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak telah memberikan jaminannya bahawa manifesto yang diumumkan itu adalah janji kerajaan kepada rakyat yang akan dilaksanakan dalam masa lima tahun akan datang jika terus diberikan kepercayaan oleh rakyat dengan memberikannya mandat baru pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Jaminan beliau ini nyata berbeza dengan janji ‘fantasi dan khayalan’ (seperti yang dirujuk Najib di dalam ucapannya) pakatan pembangkang seperti yang dibuktikan mereka dengan tidak melaksanakan janji-janji manifesto 2008.

Antara janji yang dimuatkan dalam manifesto yang diumumkan Najib itu adalah sasaran kerajaan untuk menaikkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) daripada RM500 kepada RM1200 bagi setiap keluarga yang berpendapatan RM3000 ke bawah, membina satu juta unit rumah mampu milik, termasuk 500 ribu unit rumah PR1MA dan mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan baru dengan 2 juta daripadanya dalam sektor berpendapatan tinggi.

Bertemakan 'Menepati Janji Membawa Harapan', manifesto ini menumpukan kepada 17 bidang utama yang dilihat hampir memenuhi kehendak dan keperluan rakyat merangkumi transformasi ekonomi, politik dan sosial, sehingga kepada menjunjung hak asasi manusia dan demokrasi.

Dan menyedari pengangkutan awam adalah nadi penting kebanyakan rakyat di negara ini, justeru industri ini tidak ketinggalan dari turut disenarai sebagai salah satu elemen penting yang difokuskan kerajaan sejajar dengan komitmennya untuk meringankan beban rakyat selain memacu negara ke arah yang lebih maju lagi.

Justeru itu, Najib di dalam ucapannya menegaskan bahawa salah satu agenda BN untuk penggal akan datang ialah untuk mengembangkan perkhidmatan sistem bas Rapid ke setiap ibu negeri yang lengkap dengan kemudahan untuk golongan berumur dan kurang upaya.

Selain itu, laluan bas juga akan disusun semula untuk memastikan perkhidmatan lebih cekap dan memudahkan rakyat.

BN juga berjanji untuk memperluaskan sistem rel Transit Pantas Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan komuter, dan membina terminal bas, rel dan teksi bersepadu di semua pekan dan bandar.

Selain itu BN juga berhasrat meningkatkan jumlah permit teksi individu serta melaksanakan rangkaian rel berkelajuan tinggi serta memperluaskan sistem landasan kereta api berkembar.
Tegas Perdana Menteri itu lagi, kerajaan BN, sejak menerajui Malaysia selama 55 tahun telah berusaha membuat pelbagai pembaharuan dan strategi baharu bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.

Nyata ia bukan sekadar omong kosong semata. Lihatlah langkah yang diambilnya di dalam memfokuskan bidang pengangkutan sebaik sahaja mengambil-alih tampuk pemerintahan negara daripada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Antaranya adalah memperkenalkan sebuah suruhanjaya bebas iaitu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi melihat dengan lebih mendalam isu yang menyelubungi industri ini dan seterusnya mencadangkan dasar dan rancangan polisi yang melibatkan pengangkutan awam, dan membangunkan strategi selaras dengan dasar dan rancangan yang telah diluluskan kerajaan.

Walaupun terdapat suara-suara sumbang (yang sememangnya lazim didengari setiap kali kerajaan melaksanakan sesuatu dasar baru) yang mempertikaikan kewujudan suruhanjaya ini sebagai sebuah badan di bawah Jabatan Perdana Menteri yang dikatakan tidak sejajar dengan peranannya sebagai sebuah badan yang bebas, namun apa yang pasti ialah ketetapan itu kini terbukti membuahkan hasil apabila mutu perkhidmatan pengangkutan awam kini telah semakin baik dan menunjukkan perkembangan yang positif.

Lantas, rasionalnya di sini Najib meletakkan SPAD di bawah JPM itu ialah ia menunjukkan komitmen beliau untuk menyelesaikan permasalahan yang wujud. Operasi suruhanjaya yang dipengerusikan oleh Tan Sri Syed Hamid Albar itu dapat beliau pantau secara terus di mana langkah yang lebih proaktif dapat dilaksanakan.

Dan sejak pelancarannya, manifesto ataupun aku janji BN ini telah tidak putus-putus menerima pujian pelbagai lapisan masyarakat termasuklah daripada para pengkaji serta golongan ilmuwan dan akademik.

Antara lain, ianya dilihat berupaya menangani masalah kos sara hidup rakyat di negara ini seperti yang dinyatakan oleh Pengarah Universiti Utara Malaysia Kuala Lumpur (UUMKL), Datuk Mohd Yusof Kasim.

Pernyataan beliau itu nyata bukan sekadar serkap jarang semata. Jika dirujuk kepada manifesto yang dibentangkan itu, jelas kelihatan komitmen kerajaan menyediakan keperluan asas dan perkhidmatan pada harga yang rendah melalui produk 1Malaysianya. Jelas ia merupakan langkah bijak kerajaan bagi melaksanakan apa yang dinyatakan Yusof Kasim itu.

Selain Yusof, manifesto BN ini turut menerima respon yang positif daripada Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin yang beberapa hari lalu menyatakan beliau optimis isi kandungannya boleh dilaksanakan. Menyifatkan ia sebagai realistik, justeru manifesto tersebut disimpulkan beliau sebagai bernas.

Sesungguhnya mudah bagi kita untuk menjangkakan mengapa manifesto BN ini menerima pujian daripada pakar-pakar tersebut yang secara tidak langsung menunjukkan ia lebih baik dari manifesto pakatan pembangkang.

Pertamanya ialah jika dilihat kepada manifesto pembangkang, mereka telah gagal menyatakan perkara yang paling fundamental sekali untuk sesebuah manifesto iaitu sumber bagaimana pertumbuhan ekonomi negara dapat dicapai melalui pelaksanaannya.

Ia adalah satu elemen penting buat rakyat menilai janji-janji mereka memandangkan janji yang diutarakan itu bukan kepalang seperti pendidikan percuma dan penambahbaikan sistem pengangkutan awam, maka adalah penting bagi pimpinan pembangkang untuk menjelaskan kepada rakyat mengenainya. Bukan sekadar umum sahaja.

Dan jangan kita lupa bahawa pakatan pembangkang ini melalui manifesto mereka berazam mahu memansuhkan sebuah dasar yang telah terbukti selama ini berjaya mengangkat tahap pencapaian masyarakat di negara ini terutamanya di kalangan kaum Melayu iaitu Dasar Ekonomi baru (DEB).

Kejayaan dasar ini cuba ditidakkan mereka dengan cuba mewujudkan perasaan sentimen di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini sedangkan hakikatnya kita tahu bahawa semua kaum terbuka menerima hasil daripada pelaksanaannya walaupun fokusnya adalah kepada bumiputra.

Justeru tidak keterlaluan sebenarnya jika disimpulkan niat menghapuskan DEB itu sebenarnya adalah untuk mensabotaj hak istimewa Melayu dan bumiputra seperti yang ditegaskan penganalisis politik Dr Noor Sulastry Yurni Ahmad.

Lantas, terpulang kepada diri kita sendiri sekarang ini untuk samada terus membiarkan diri hanyut di alam ‘fantasi dan khayalan’ pakatan pembangkang ataupun segera bangkit dari khayalan dan membantu di dalam memastikan agenda konkrit memakmurkan ekonomi, politik dan sosial negara dapat dilaksanakan dengan memberikan sokongan yang padu kepada Najib dan barisan kepimpinannya pada pilihanraya kali ini.


UrukHai.

No comments:

Post a Comment