Followers

Friday, 12 April 2013

Parti Politik Di Nasihatkan Tidak Memakai Pakaian Seragam Seperti Anggota Keselamatan !! #PG13 #TolakPR #GE13 #PRU13


Parti politik hari ini dinasihat supaya tidak membenarkan anggota mereka memakai pakaian seragam yang seakan-akan pihak berkuasa kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dan menyalahi undang-undang.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata tindakan anggota parti politik yang memakai pakaian beruniform lengkap berberet, kasut but, baju berlogo serta menggunakan senjata seperti cota perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa, dan tidak boleh dipakai sewenang-wenangnya.

"Kami menerima maklumat seperti kejadian pada 9 April lepas, ada parti tertentu melengkapkan beberapa anggota dengan pakaian beruniform siap berberet di mana tindakan ini tidak sihat serta menimbulkan kekeliruan kerana mereka bukan pihak berkuasa," katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata dalam kejadian di Kuala Langat itu, kira-kira 10 anggota parti berkenaan didapati berpakaian uniform lengkap seperti pihak berkuasa dan mengawal satu majlis yang diadakan.

Tun Hisan berkata dengan beruniform seperti pihak keselamatan tempatan ia dikhuatiri akan menimbulkan masalah apabila berlakunya salah guna kuasa serta kekerasan seperti menahan individu atau menahan kenderaan sesuka hati mereka.

Tun Hisan berkata tindakan memakai pakaian beruniform seakan-akan pihak berkuasa itu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 89 (c) Akta Polis 1967.

"Saya suka ingatkan parti politik elakkan perkara ini dan segala perkara berkaitan keselamatan awam termasuk trafik serahkan kepada pihak polis untuk menguruskannya," katanya.

Beliau berkata kesemua parti politik yang ingin mengadakan ceramah perlu memaklumkan kepada polis 10 hari lebih awal, bagi tujuan mempersiapkan anggota untuk membantu mengawal keadaan dan lalu lintas.

"Sepanjang tempoh berkempen pada pilihan raya umum ke-13 nanti, semua pihak yang ingin mengadakan ceramah perlu mendapatkan permit daripada polis. Tidak salah kita semua bersama-sama mahu memeriahkan suasana pilihan raya tetapi
pastikan ia berlangsung dalam suasana aman," katanya. - BERNAMA


UrukHai.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...