Followers

Thursday 11 April 2013

300 Wira Gugusan Labian Pulang !! #PG13 #PeaceSabah #Pahlawanku #ESSZONE #LahadDatu #OpsDaulat



Seramai 300 anggota tentera dari Batalion Ketiga Rejimen Renjer Diraja (RRD) pulang Rabu selepas lebih tiga bulan berkhidmat di Kampung Tanjung Labian dan Tanjung Batu berikutan insiden pencerobohan pengganas di pantai timur Sabah.

Pegawai Memerintah Tiga RRD, Lt Kol Wan Edenin Wan Mahsin berkata kesemua wira negara itu akan pulang ke Kem Oya, Sibu, Sarawak dan digantikan dengan Batalion Kesembilan RRD dari Taiping, Perak.
"Mereka akan meneruskan tugas-tugas penstabilan kawasan dan memperbaiki serta meningkatkan keyakinan penduduk di sini," katanya kepada pemberita.

Kepulangan anggota keselamatan itu diiringi ucapan penghargaan oleh penduduk yang berkumpul di kawasan masuk dan keluar kampung.

Sambil memegang kain rentang yang tertulis ucapan terima kasih di atas jasa perwira negara menjaga keselamatan penduduk setempat susulan pencerobohan itu, mereka mengambil peluang bersalaman dengan anggota keselamatan berkenaan.

Wan Edenin berkata walaupun situasi bertambah baik, namun anggota keselamatan akan terus menjaga aspek pertahanan dan keselamatan di situ.

"Orang kampung sudah dibenarkan ke kebun dan ke laut untuk melakukan tugas harian mereka dalam keadaan lebih yakin," katanya.

Penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sejak 30 Mac selepas pasukan keselamatan memastikan kawasan mereka selamat daripada ancaman penceroboh militan dari Sulu.

Sementara itu, kehadiran murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Labian dan Lok Buani semakin meningkat hari ini berbanding hari pertama kedua-dua sekolah itu dibuka Isnin lepas.

Guru Besar SK Labian, Sakka Labacho berkata 188 murid hadir ke sekolah hari ini berbanding 151 Isnin lepas. Sekolah yang dibuka sejak 1966 itu mempunyai 252 murid dan 18 guru.

"Kita diberitahu bagi 64 murid yang tak hadir, ada antara mereka masih menetap di penempatan sementara dan tiada kenderaan untuk hadir ke sekolah," katanya semasa menerima lawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Tan Kok Lian.

Beliau berkata bagi menggantikan sesi pembelajaran yang tertinggal berikutan penutupan sekolah selama sebulan, kelas ganti akan diadakan setiap Sabtu bermula minggu ini.

Di SK Lok Buani, 120 murid hadir ke sekolah hari ini berbanding 97 Isnin lepas. Sekolah itu mempunyai 150 murid.

Guru Besar SK Lok Buani Saabi Hasim berkata sesi pembelajaran berjalan lancar dengan murid tidak menunjukkan sebarang trauma atau masalah lain berikutan insiden pencerobohan itu.

Tinjauan mendapati kedua-dua sekolah itu masih dikawal ketat oleh pasukan keselamatan yang turut menjalankan rondaan di kawasan sekitar.-- BERNAMA


UrukHai.

No comments:

Post a Comment