Followers

Tuesday, 27 November 2012

6 Perkara Yang Perlu Kita Fikirkan Sewaktu Di Persidangan UMNO Hari Ini !!



Apabila 5,447 perwakilan termasuk daripada Wanita, Pemuda dan Puteri menghala kaki ke PWTC, Kuala Lumpur untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO bermula hari ini (27 November), cuma satu iktibar boleh diambil mereka.

Kemenangan Barack Obama ke atas pesaingnya, Mitt Romney dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini. Banyak pengajaran dapat dipelajari dari segi teknik kemenangan presiden berkulit hitam pertama AS itu.

Para perwakilan UMNO yg terpilih sebagai pembahas usul mesti tampil dengan idea dan hujah yang bernas untuk menjamin kemenangan BN. Para pengundi pula mesti lebih berani menyatakan keputusan sebenar mereka dalam PRU-13 nanti. Ini penting agar tidak berulang peristiwa dijerat dengan pendekatan popular, enak didengar dan manifesto yg sukar dilaksanakan oleh parti tertentu PRU lepas.

Antara iktibar yang perlu direnung daripada pemilihan Presiden AS tempoh hari:

1. Kuasa Pengundi Wanita.

Pengundi wanita lebih menyukai Obama berbanding Romney kerana penampilannya yang lebih bersifat menyayangi keluarga. Romney tidak dilihat mempunyai ikatan kekeluargaan yg kuat apabila isterinya, Anne Romney tidak mampu meraih emosi ketika menceritakan kehidupan bahagia mereka di hadapan pengundi semasa berkempen. Michelle Obama mampu memberikan daya tarikan emosi sehingga suaminya meraih sokongan 55 peratus wanita, sedangkan Romney hanya mampu meraih 44 peratus.

Di Malaysia, menurut rekod terkini SPR, separuh daripada 13.1 juta pengundi berdaftar adalah wanita. Pengundi baru juga terdiri daripada wanita yang bekerja di rumah. Wanita yang tidak menjadi tenaga kerja dikatakan cenderung untuk kurang terdedah kepada perkembangan politik atau sebaliknya (mendapatkan) pandangan berat sebelah. Ini penyebab sukar untuk mereka mendapatkan maklumat alternatif. Maka, menjadi tanggungjawab Wanita BN termasuk 1.6 juta ahli Wanita UMNO merungkai urusan pengundi wanita.

2. Mendekati Pengundi Muda.

Dari segi umur juga membuktikan Obama lebih disenangi oleh pengundi muda, iaitu berumur di bawah 45 tahun. Romney hanya berupaya mendapat sokongan daripada pengundi yang berumur lebih 45 tahun. Ini menunjukkan Romney tidak begitu berjaya mempengaruhi kelompok pengundi muda AS yang sedang berhadapan dengan peluang pekerjaan yang berkurangan dan kadar pengangguran pada tahap 7.9 peratus.

Obama tetap berjaya memenangi hati pengundi muda dan merupakan calon presiden pertama yg mampu mempertahankan kedudukan walaupun jumlah penganggur adalah tinggi.

Di Malaysia, buat pertama kali jumlah pengundi baru membentuk seperlima daripada 13.1 juta atau 22 peratus (2.9 juta). Sejumlah 2,920,828 rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi dari 2008 hingga Jun tahun ini. Buat pertama kali juga, kira-kira 2.9 juta pengundi baru berumur 39 - 40 tahun ke atas dicatatkan. Tambahan 438,041 orang berdaftar sebagai pengundi dari 1 Januari hingga 30 Jun tahun ini.

Pada 2008, BN memperoleh 4.08 juta undi berbanding pakatan pembangkang, 3.79 juta undi, perbezaan sebanyak 290,000 undi. Justeru, lebih banyak usaha perlu digerakkan untuk menambah pengundi baru.

3. Menang Atas Sokongan Minoriti?

Sistem politik di AS sebenarnya tidak bebas sepenuhnya daripada pengaruh perkauman apabila keputusan jelas menunjukkan bahawa Mitt Romney mendapat sokongan lebih dua pertiga pengundi berkulit putih. Berdasarkan analisis kemenangan Obama, kejayaan mempertahankan kepresidenan untuk penggal kedua adalah bergantung sepenuhnya sokongan lebih besar daripada pengundi keturunan Afrika-Amerika, Asia-Amerika dan Hispanik.

Pengundi berkulit putih yang mewakili 87 peratus undi pada 1992, jatuh ke tahap 72 peratus kali ini, menurut tinjauan pasca undi. Kumpulan etnik Hispanik yang dulunya hanya dua peratus telah meningkat kepada 10 peratus. Majoriti pengundi beragama Islam cenderung mengundi Obama berbanding Romney yang dilihat berfikiran 'melampau' termasuk dokongan yang begitu ketara ke atas Israel.

Kemenangan BN pada pilihan raya negeri Sarawak April 2011 banyak disumbangkan oleh pengundi-pengundi di luar bandar dan pedalaman. Bagi pengundi India, trend sokongan kepada BN diyakini sudah kembali. Bagi pengundi Cina pula, tidak kira tilikan peramal-peramal betul atau tidak, yang pasti merupakan kumpulan pengundi yang paling sukar diramalkan hala tuju mereka.

Setakat ini masih ramai pengundi Cina tidak membuat keputusan untuk mengundi BN atau pembangkang. Keadaan ini disebabkan oleh nilai kehidupan tradisi masyarakat Cina sendiri di mana mereka akan membuat penilaian berterusan ke atas persekitaran semasa. Kemenangan BN juga amat bergantung kepada kemampuan parti komponennya termasuk MCA untuk melawan propaganda pembangkang yang mahu meracuni minda pengundi Cina.

Trend pengundi Cina yang sukar diramal turut ditunjukkan dalam beberapa pilihan raya kecil. Dalam Pilihan Raya Umum 2008, boleh dikatakan undi Cina beralih secara besar-besaran kepada pembangkang, pengaruh DAP berjaya diperluaskan ke Sabah malahan di sesetengah tempat di utara Johor, negeri yang merupakan kubu paling kuat BN.

4. Dasar Ekonomi Di Landasan Betul.

Dasar ekonomi yang dibentang oleh Romney sebenarnya mampu memberikan kelegaan kepada kumpulan kaya dan golongan kapitalis berbanding Obama yang memberikan perhatian lebih besar kepada kelompok bawahan dengan berusaha mengenakan cukai lebih tinggi ke atas mereka yang berpendapatan tinggi bagi menampung keperluan golongan pertengahan dan rendah mendapat kemudahan insurans kesihatan. Inilah sebenarnya kekuatan yang diperoleh Obama dalam keputusan Pilihan Raya Presiden ke-45 pada 6 November 2012 itu.

Kerajaan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berada di landasan yang betul dan jelas dalam usahanya memacu transformasi untuk mengubah Malaysia ke tahap lebih memberangsangkan. Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Baru Ekonomi (MBE) dan gagasan 1Malaysia adalah bukti iltizam kerajaan ke arah memenuhi harapan besar rakyat yang mahu memperbaiki kehidupan masing-masing.

Malah terbaru pada 15 November lalu, Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde mengiktiraf Malaysia sebagai salah sebuah negara perintis sistem kewangan Islam dunia dengan pengenalan dana kewangan Islam atau sukuk. Menurutnya, usaha dan peranan yang diambil Malaysia dalam sistem kewangan Islam wajar menjadi contoh negara-negara lain terutamanya negara Barat.

5. Beritahu Apa Yang Rakyat Percaya

Pengulas Fox News, Christian Whiton pula berpendapat Republikan melakukan kesilapan kerana memilih seorang berwatak 'sederhana' seperti Romney dan Republikan yang juga dikenali dengan nama jolokan sebagai GOP (Grand Old Party) sepatutnya mencari seorang yang memiliki ketokohan Ronald Reagan atau Newt Gingrich.

Masalah lain ialah pemimpin kanan Republikan amat yakin mereka akan memenangi pilihan raya itu. Maka mereka memutuskan untuk memilih seorang yang sederhana.

Mereka memaksa parti itu menerima Romney yang sekian lama berada 'di sana sini' dalam kebanyakan isu dan memberitahu rakyat apa yang dia ingat mereka mahu dengar, bukan apa yang dia percaya.

Dengan kegagalan pakatan pembangkang melaksanakan sebahagian besar manifesto yang dijanjikan di beberapa negeri tadbiran mereka, BN perlu mengambil peluang ini untuk menjelaskan kepada rakyat. Di Selangor khususnya, banyak 'tembelang' manifesto pakatan itu pada 2008 terbongkar.

6. Kuasai Internet, Laman Sosial

Selepas beberapa jam gambar Obama dipapar di akaun Facebook dan Twitter beliau semasa kempen pemilihan Presiden, ia mengatasi bintang sosial media seperti Justin Bieber dan Lady Gaga daripada tangga teratas. Gambar itu bersama perkataan "four more years (empat tahun lagi)", menunjukkan Obama berpelukan dengan isteri beliau Michelle Obama, mendapat "tweet" semula sebanyak 745,000 kali pada suatu petang Rabu.

Gambar yang sama di Facebook mengumpul lebih daripada 3.7 juta "likes" (gemar). Rekod itu dicatat selepas operasi media sosial Obama mencatat 50 juta peminat mendahului kempen Romney yang hanya mendapat 10 juta pengikut.

Ramai penganalisis ketika itu mengenal pasti ini sebagai satu kebaikan dalam pertarungan untuk menawan White House, terutamanya dalam kalangan pengundi muda yang paling banyak menggunakan laman sosial Twitter dan Facebook.

BN juga telah secara agresif meningkatkan aktiviti ruang siber dengan portal berita pro-BN dan peningkatan bilangan penyokong yang menyertai Twitter. Populariti ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Internet adalah jauh di belakang Najib, dengan pengikut akaun Facebook beliau kurang tanda "suka" berbanding Najib. Pengikut Twitter Najib juga lebih banyak daripada Anwar.

Kepada semua perwakilan, Selamat Bersidang....!


Sumber Rakan FB Uruk.


UrukHai.

No comments:

Post a Comment