Followers

Thursday, 29 November 2012

MALAYSIA BELASAH LAOS 4-1, PELUANG KE SEMI FINAL CERAH !!


Keputusan Malaysia menang ke atas Laos, Jurulatih Skuad Kebangsaan Datuk K Rajagopal pastinya menarik nafas lega seketika setelah mencapai kemenangan bergaya.

Skuad bola sepak kebangsaan kembali menghidupkan peluang ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2012 selepas membelasah Laos, 4-1 pada perlawanan kedua Kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Datuk K. Rajagobal nyata mengotakan janji beliau dengan melakukan perubahan besar-besaran ke dalam skuad Harimau Malaya pada perlawanan berkenaan termasuk membawa masuk beberapa muka baru seperti penjaga gol Mohd Farizal Marlias dan pemain tengah Mohd Shakir Shaari.

Kapten skuad kebangsaan Safiq Rahim membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi sepakan percuma yang cantik dari jarak 20 meter sekaligus menceriakan hampir 20,000 penyokong Harimau Malaya.

Kelekaan barisan pertahanan membawa padah apabila Laos menyamakan kedudukan menerusi Khonesavanh Sihavong pada minit ke-39 selepas sepakan derasnya terkena pemain pertahanan negara sebelum membias masuk ke dalam gawang skuad Harimau Malaya.

Penyerang Mohd Safee Mohd Sali kemudian menjaringkan gol kedua pada minit ke-67 selepas beliau menyambar hantaran lintang sebelah kanan daripada Wan Zack Haikal Wan Nor.

Wan Zack kemudian menambah derita pasukan bimbingan Kokichi Kimura itu menerusi tandukan pada minit ke-75 selepas mendapat hantaran lambung daripada pemain sayap, S. Kunalan.

Kemasukan Mohd Khyrill Muhymeen Zambri bagi menggantikan Mohd Safee pada penghujung permainan nyata membawa tuah apabila beliau menjaringkan gol keempat skuad Harimau Malaya pada minit ke-79 untuk membolehkan mereka mengumpul tiga mata pertama.

Mereka bagaimanapun harus mencatatkan kemenangan pada perlawanan terakhir menentang Indonesia pada Sabtu ini di stadium yang sama untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2010.

Saksikan sedutan jaringan daripada skuad Harimau Malaya : 






Mari sama sama kita ke stadium dan menyokong pasukan Harimau Malaya.



"Selamanya...Selamanya...,Selamanya ooh ooh Malaysia !!"




UrukHai.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...