Followers

Tuesday, 19 March 2013

Sebenarnya Ianya Adalah Sandiwara Jamalul Kiram III & Anwar Juga Sememangnya Dalang Rupanya ??!!


Insiden pencerobohan di Lahat Datu dilihat tidak lebih daripada sandiwara Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya sebagai pewaris takhta Kesultanan Sulu dan para penaja kempen beliau.

Tindakan Jamalul dan militan setianya tidak masuk akal sedangkan Istana Malacanang sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa tidak ada penurunan pewaris selepas Sultan Jamalul Ikram II meninggal dunia (1884-1936).

Kumpulan militan bersenjata seramai 234 orang yang diketuai sendiri oleh adik Jamalul yang bergelar Raja Muda Agbimuddin Kiram mendarat di Kampung Tanduo pada 9 Feb untuk menuntut semula Sabah sebagai sebahagian daripada Kesultanan Sulu.



Selepas Kerajaan Malaysia bertindak untuk mengusir keluar kumpulan pengganas itu, dan selepas berpuluh-puluh anggotanya terbunuh Jamalul yang dalam mahu menjaga air mukanya berkeras bahawa pasukan militannya tidak akan berundur dari Lahad Datu dan mereka akan berjuang hingga ke orang terakhir.

Sandiwara “Istana Sulu” dipanjangkan lagi oleh polemik adiknya yang menggelarkan dirinya sebagai “Sultan Bantilan Esmail Kiram II” dan anak perempuannya “Jacel Kiram”.

Plot sandiwara itu bertambah rumit dengan tidak kurang enam pihak yang menuntut takhta Kesultanan Sulu yang tidak lagi diiktiraf.

MUSUH DALAM SELIMUT

Pemimpin tempatan (pembangkang) serta pesimpati dengan ‘perjuangan Kesultanan Sulu’ juga dipercayai menyumbang kepada sandiwara ini.

Sebelum pencerobohan berlaku, ada pemimpin pembangkang Sabah yang mengakui pernah berjumpa dengan Sultan Sulu.

Bagaimanapun beliau (pemimpin pembangkang) tidak menjelaskan apakah isu dalam perbincangan dan turut mengakui yang beliau jumpai itu bukanlah Jamalul yang mendalangi pencerobohan itu.

Pembangkang ini selama ini cukup lantang seperti yang dilaporkan di dada akhbar memperjuangkan hak-hak Sabah dan memastikan kuasa autonomi ada pada Sabah.

Namun selepas insiden ini berlaku, suara beliau (pemimpin pembangkang) yang selama ini begitu sengit tidak lagi kedengaran.

ORANG SABAH SUDAH MENENTUKAN TAKDIR SABAH

Sikap degil Jamalul ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan Presiden Filipina Benigno S. Aquino yang menyatakan bahawa “anda tidak akan berjaya” (dalam perjuangan mereka menuntut Sabah), yang dengan kedegilan beliau itu menyaksikan 10 anggota keselamatan Malaysia dan 62 militan terbunuh sehingga hari ini.

Kumpulan Jamalul juga tidak mengendahkan hakikat sejarah yang penduduk Sabah telah menentukan takdir Sabah (dahulunya North Borneo) sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.

Pendirian Kerajaan Filipina semasa pembentukan Persekutuan Malaysia dapat dilihat pada akhbar ‘Philippine Daily Inquirer’ yang telah menerbitkan ucapan terdahulu pemimpin kerajaan itu berhubung pendiriannya terhadap Sabah.

Akhbar itu memetik laporan akhbar Manila Times pada 25 Mac, 1963, yang memetik ucapan Senator Lorenzo Sumulong dalam ucapan ‘privilege’ berhubung tuntutan terhadap Sabah, (difailkan oleh President Diosdado Macapagal pada 22 Jun, 1962), menyatakan adalah lebih baik menyerahkan kepada rakyat di Sabah sama ada mereka mahu menyertai pembentukan Malaysia atau sebaliknya.

“Apa gunanya melibatkan diri di Borneo Utara, jika selepas semua, walaupun jika kita berjaya memperolehnya, kita komited kepada idea membenarkan rakyat Borneo Utara menentukan apa nasib mereka akan datang?

“… tindakan yang lebih baik untuk diikuti adalah untuk kerajaan kita memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu apabila Rancangan Persekutuan Malaysia dikemukakan untuk pertimbangan PBB, bahawa kita secara sukarela melepaskan apa-apa tuntutan kedaulatan kita di mana-mana bahagian North Borneo dalam usaha mempercepatkan perubahan status wilayahnya daripada bukan pemerintahan sendiri kepada negeri pemerintahan sendiri atau bebas dan bahawa kita bersetuju dengan pungutan suara di bawah naungan PBB untuk memberi rakyat Borneo Utara peluang untuk menyatakan dengan bebas kehendak dan hasrat mereka …”

TIDAK ARIF DENGAN SEJARAH

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Shariff AK Omang berkata pencerobohan itu tidak akan berlaku sekiranya klausa dalam pungutan suara Suruhanjaya Cobbold difahami oleh kumpulan militan Filipina ini.

Ketiadaan pengetahuan akan hasil pungutan suara Suruhanjaya Cobbold antara Filipina dan North Borneo berhubung pemilikan Sabah dalam kalangan kumpulan pengganas ini membolehkan mereka diperalatkan dan terkorban sia-sia.

Shariff berkata rakyat dan kerajaan haruslah sentiasa bersedia dan selaras dengan kenyataan Perdana Menteri pencerobohan ini adalah satu panggilan “wake-up call”, untuk meningkatkan perancangan dan strategi masa depan bagi menangani sebarang ancaman khususnya yang melibatkan kedaulatan negara.

Berikutan pencerobohan ini, UMS mewujudkan Pusat Kajian Strategik Sabah sebagai platform untuk memberi pandangan, nasihat dan maklumat tentang isu dan perancangan masa depan yang melibatkan isu keselamatan, ekonomi, sosial, sejarah, pendidikan, politik dan yang berkaitan isu domestik negara.

“Kini kita berdepan dengan ancaman pencerobohan yang melibatkan keselamatan, kita tidak tahu masa depan mungkin kita akan menghadapi ancaman ekonomi dan sebagainya. Dan inilah UMS memainkan peranan dan wujudkan pusat ini,” katanya.

Tetapi semua ini dan hakikat sejarah tidak cukup untuk meyakinkan Jamalul dan penyokongnya yang tindakan mereka itu umpama mencari sungai yang tiada berhulu. – BERNAMA



UrukHai.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...