Followers

Tuesday, 26 March 2013

Satu Liter Darah Biru Belangkas RM15,500 !! #Agro


Suatu ketika dulu tidak seorang pun memandang hidupan marin ini kerana menyangka ia sekadar hidangan ‘eksotik’ yang disajikan dalam pelbagai bentuk masakan seperti asam pedas, masak lemak cili padi atau dibakar.

Malah Uruk dan rakan-rakan juga pernah pergi memakannya di sebuah Restoran yang agak terkenal di Pulau Pinang baru-baru ini samapaikan tak terfikir pula hidupan marin ini mampu menjana pendapatan yang sangat menguntungkan.

Kalau dijual sekalipun harganya sekitar 20 hingga 30 sen seekor menyebabkan nelayan kurang berminat berbanding tangkapan ikan yang terjamin mempunyai nilai di kalangan penggemar makanan laut.

Namun, tanggapan belang­kas sebagai makanan tidak bernilai kurang tepat kerana dunia terlebih dulu menge­nalinya sebagai bahan penting dalam industri farmaseutikal.

Ikuti Berita Dibawah : 

Bagi yang kurang menge­nali belangkas, haiwan itu sebenarnya bernilai tinggi dalam sektor perubatan, terutama bendalir terkandung dalam badannya yang boleh digunakan untuk mengesan virus, bakteria dan toksin. 
Malah kit antitoksin menggunakan belangkas sudah lama berkembang di Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan Asia Barat. 
Bahan bernilai tinggi dalam badan belangkas yang menjadi rebutan pakar perubatan ketika ini adalah darah haiwan itu yang mampu mencecah harga RM15,500 (AS$5,000) seliter. 
Tidak hairanlah, darah berwarna biru dihasilkan spesies itu mendapat permintaan tinggi di seluruh dunia terutama di Amerika Syarikat. 
Bagaimanapun, untuk menghasilkan seliter darah biru belangkas sekurang-kurangnya 150 ekor diperlukan dan hanya 10 peratus darah diambil daripada setiap seekor belangkas yang dibawa ke makmal. 
Secara praktikal, darah biru belangkas disedut keluar tanpa perlu membunuhnya kerana belangkas yang dilepaskan semula ke habitat asal mampu menghasilkan darah berkualiti untuk digunakan semula pada masa depan. 
Ketika ini, hasil tangkapan belangkas hidup dikumpul peraih banyak dieksport ke Thailand dengan harga bagi kategori belangkas telur mencecah antara RM8 ke RM9 seekor. 
Belangkas dalam bentuk sejuk beku pula dieksport ke Amerika Syarikat sebagai umpan ikan.
Pembangunan dan penyelidikan (R&D) terhadap spesies belangkas sudah dilaksanakan pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. 
Kajian terhadap spesies itu sudah dilakukan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Zaleha Kassim dari Institut Akuakultur Tropika (Akuatrop) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Pahang. 
Dalam memastikan spesies berkenaan tidak pupus, Pusat Penyelidikan Ternakan Air Payau (PPTAP), Institut Penyelidikan Perikanan (FRI), Jabatan Perikanan Gelang Patah, Johor, turut menjalankan kajian terhadap belangkas. 
Kajian itu dijalankan Pegawai Penyelidik Unit Ternakan Sangkar, Mohd Lazim Mohd Saif awal tahun lalu bagi melihat kadar tumbesaran ‘lavae’ (peringkat anak) belangkas di dalam tangki khas yang ditempatkan di FRI Gelang Patah, Johor. 
Mohd Lazim berkata, idea untuk menjalankan kajian terhadap belangkas tercetus sebaik beliau dipindahkan dari FRI Rantau Abang, Terengganu ke pusat berkenaan tahun lalu. 
“Tujuannya untuk menambahkan sumber belangkas di perairan negara. Saya lihat spesies itu banyak dikeluarkan dari habitat semula jadinya tanpa ada usaha pihak tertentu menambah bilangannya. 
“Bukan saja berdepan kepupusan, belangkas juga mengambil masa lama untuk matang seperti bertelur saja, prosesnya selepas mencecah usia 10 tahun. 
“Dalam tempoh sembilan tahun, belangkas akan salin kulit. Tahun kesepuluh pula ia baru mencari pasangan untuk mengawan,” katanya yang berpengalaman 10 tahun berkhidmat dengan FRI Rantau Abang. 
Beliau berkata, belangkas mempunyai nilai perubatan tinggi dan saintis kini menjalankan pelbagai usaha penyelidikan untuk memastikan ia tidak pupus, selain kajian berkaitan bioteknologi. 
“Penyelidikan itu digerakkan Dr Zaleha (penyelidik di UMT). Penemuan hasil penyelidikan adalah kulit (karapas) belangkas yang selama ini menjadi bahan terbuang tapi kini mempunyai nilai tinggi. 
“Kulitnya didapati mempunyai nilai kerana mengandungi kitin (bahan mentah menghasilkan kitosan dan berguna sebagai makanan untuk diet atau mengurangkan berat badan) yang tinggi berbanding biasa ditemui pada udang atau cangkerang ketam,” katanya. 
Kitosan dalam dunia perubatan digunakan untuk menyerap lemak dalam badan yang dijual dalam bentuk kapsul. 
Mengulas mengenai spesies berkenaan, katanya, belangkas ditemui di perairan negara berbeza dengan yang didapati di bahagian timur Amerika Syarikat. 
“Darah belangkas digunakan sebagai petunjuk untuk memastikan ubat digunakan tulen atau asli, selain bebas virus, bakteria dan toksin. 
“Peranannya seperti sel darah putih dan menangkap mikro organisma. Meskipun banyak kajian dijalankan, kekurangan sumber menyebab­kan teknologi yang ada tidak dapat digunakan,” katanya. 
Mengulas mengenai kajian tumbesaran belangkas dilakukannya, katanya, peringkat pertama digunakan menerusi kaedah pembuatan pantai tiruan kurang berjaya. 
“Mungkin ada yang tidak kena ataupun lokasinya kurang sesuai dengan persekitaran semula jadi. 
“Belangkas yang terdapat di kawasan semula jadi seperti kawasan berpasir memboleh­kan ia bertelur dan menetas selain airnya bersih,” katanya. 
Katanya, kira-kira 300 ekor larva belangkas digunakan untuk dijadikan bahan kajian tumbesaran di pusat berkenaan. 
“Selepas menetas antara 50 hingga 60 hari, larva belangkas dipindahkan ke dalam dua tangki khas dan diberikan dua jenis makanan berbeza. 
“Larva dalam tangki pertama diberikan makanan hidup (artemia) manakala tangki kedua diberikan makanan rumusan,” katanya yang memulakan kajian bermula Jun tahun lalu dengan turut dibantu seorang kakitangan jabatan itu, Khairudin Syawal. 
Menurutnya, hasil penyelidikan mendapati larva diberikan makanan hidup mempunyai tumbesaran perlahan kerana perlu menunggu lama untuk makan haiwan mereput diperoleh dari dalam lumpur. 
“Sifat semula jadi larva belangkas ini ia akan makan hidupan sudah mati terdapat dalam lumpur selain menjadikan lumpur untuk menyorok. 
“Larva yang diberikan makanan rumusan pula cepat membesar. Pembesarannya lebih sekata dan mempunyai ketahanan diri lebih tinggi dan tidak mudah mati,” katanya.  
Mengenai perancangan masa depan, katanya, agensi berkenaan dengan kerjasama penternak dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bakal membina sebuah pusat perlindungan belangkas di Pantai Tanjung Buloh Sedili Kecil, Kota Tinggi, Johor. 
Projek membabitkan keluasan kira-kira lima kilometer itu membabitkan pelaburan berjumlah RM500,000, dileng­kapi pelbagai kemudahan termasuk pusat penetasan dan penternakan belangkas. 
“Jika terlaksana bangunan berkenaan, kawasan itu dapat dijadikan sebagai pusat agro pelancongan yang menjadi daya tarikan terbaru di kawasan itu, sekali gus memberi ilmu kepada generasi muda mengenai spesies haiwan terbabit,” katanya.- HM


UrukHai.

No comments:

Post a Comment