Followers

Thursday, 29 August 2013

49 Pertubuhan Haram @kongsi gelap Dikenal Pasti !!

Gambar Hiasan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengumumkan senarai 49 pertubuhan haram, termasuk kongsi gelap esok, kata menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Beliau berkata senarai yang mengandungi nama pertubuhan, lokasi dan aktiviti yang terlibat pertubuhan haram itu akan diumumkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dalam satu sidang media. 
    
“Pengazetan nama pertubuhan-pertubuhan haram telah saya tanda tangani.
    
“Mereka (pertubuhan-pertubuhan haram) tidak boleh menggunakan nama, lambang, menggunakan premis atau bergerak dalam satu pasukan atas nama atau simbol yang disenaraikan itu,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Duta Poland, Adam Waclaw Jelonek di pejabatnya di Putrajaya hari ini. 
    
Beliau berkata pertubuhan-pertubuhan haram ini boleh dikenakan denda maksimum RM15,000 dan penjara lima tahun. 
    
Ahmad Zahid berkata langkah mendedahkan senarai pertubuhan haram kepada umum telah mendapat sokongan NGO termasuk Majlis Peguam dan pertubuhan-pertubuhan pencegahan jenayah.
    
Selain mengembalikan keyakinan rakyat, beliau berkata langkah ini juga menunjukkan polis serius dalam membanteras jenayah di negara ini,” katanya.  
    
“Langkah ini diambil selepas Ops Cantas Khas dan usaha mewartakan nama pertubuhan atau entiti haram ini, yang pada asasnya untuk menformalkan tindakan undang-undang di samping membasmi kegiatan jenayah.
    
"Saya kira apa yang dilakukan adalah mengikut undang-undang yang diperuntukkan bagi kami melaksanakannya dengan sewajarnya," katanya.
    
Ahmad Zahid juga berkata KDN akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk memantau aktiviti perniagaan pertubuhan-pertubuhan haram.
    
"Kita tidak berkompromi dengan aktiviti haram yang dijalankan pertubuhan-pertubuhan haram. Yang penting ialah rakyat diberi perlindungan sepenuhnya," katanya.
     
“Saya kira kerjasama rapat dengan SSM merupakan usaha yang dijalankan polis atau ROS (Pendaftar Pertubuhan). Apa yang penting orang ramai perlu diberi perlindungan sepenuhnya,” katanya. 

- Bernama

UrukHai.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...