Followers

Showing posts with label Ops Daulat. Show all posts
Showing posts with label Ops Daulat. Show all posts

Thursday, 11 April 2013

300 Wira Gugusan Labian Pulang !! #PG13 #PeaceSabah #Pahlawanku #ESSZONE #LahadDatu #OpsDaulat



Seramai 300 anggota tentera dari Batalion Ketiga Rejimen Renjer Diraja (RRD) pulang Rabu selepas lebih tiga bulan berkhidmat di Kampung Tanjung Labian dan Tanjung Batu berikutan insiden pencerobohan pengganas di pantai timur Sabah.

Pegawai Memerintah Tiga RRD, Lt Kol Wan Edenin Wan Mahsin berkata kesemua wira negara itu akan pulang ke Kem Oya, Sibu, Sarawak dan digantikan dengan Batalion Kesembilan RRD dari Taiping, Perak.
"Mereka akan meneruskan tugas-tugas penstabilan kawasan dan memperbaiki serta meningkatkan keyakinan penduduk di sini," katanya kepada pemberita.

Kepulangan anggota keselamatan itu diiringi ucapan penghargaan oleh penduduk yang berkumpul di kawasan masuk dan keluar kampung.

Sambil memegang kain rentang yang tertulis ucapan terima kasih di atas jasa perwira negara menjaga keselamatan penduduk setempat susulan pencerobohan itu, mereka mengambil peluang bersalaman dengan anggota keselamatan berkenaan.

Wan Edenin berkata walaupun situasi bertambah baik, namun anggota keselamatan akan terus menjaga aspek pertahanan dan keselamatan di situ.

"Orang kampung sudah dibenarkan ke kebun dan ke laut untuk melakukan tugas harian mereka dalam keadaan lebih yakin," katanya.

Penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sejak 30 Mac selepas pasukan keselamatan memastikan kawasan mereka selamat daripada ancaman penceroboh militan dari Sulu.

Sementara itu, kehadiran murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Labian dan Lok Buani semakin meningkat hari ini berbanding hari pertama kedua-dua sekolah itu dibuka Isnin lepas.

Guru Besar SK Labian, Sakka Labacho berkata 188 murid hadir ke sekolah hari ini berbanding 151 Isnin lepas. Sekolah yang dibuka sejak 1966 itu mempunyai 252 murid dan 18 guru.

"Kita diberitahu bagi 64 murid yang tak hadir, ada antara mereka masih menetap di penempatan sementara dan tiada kenderaan untuk hadir ke sekolah," katanya semasa menerima lawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Tan Kok Lian.

Beliau berkata bagi menggantikan sesi pembelajaran yang tertinggal berikutan penutupan sekolah selama sebulan, kelas ganti akan diadakan setiap Sabtu bermula minggu ini.

Di SK Lok Buani, 120 murid hadir ke sekolah hari ini berbanding 97 Isnin lepas. Sekolah itu mempunyai 150 murid.

Guru Besar SK Lok Buani Saabi Hasim berkata sesi pembelajaran berjalan lancar dengan murid tidak menunjukkan sebarang trauma atau masalah lain berikutan insiden pencerobohan itu.

Tinjauan mendapati kedua-dua sekolah itu masih dikawal ketat oleh pasukan keselamatan yang turut menjalankan rondaan di kawasan sekitar.-- BERNAMA


UrukHai.

Saturday, 6 April 2013

Lelaki Sulu Ditahan Dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (SOSMA) !! #LahadDatu #OpDaulat


Tertuduh yang merupakan warga Filipina mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan berkenaan yang dibacakan di hadapan Majistret Syajaratudur Abd. Rahman dan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Beliau merupakan Seorang lelaki Sulu dan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dihadapkan di dua mahkamah berasingan atas tuduhan memiliki kad pengenalan palsu dan menetap secara haram di negara ini.


Iskandar Azlan Al Shah Mohd. Nazal Al Shah, 33, yang ditahan di bawah SOSMA kerana mempunyai kaitan dengan pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Sabah didakwa di Mahkamah Majistret di sini satas kesalahan memiliki kad pengenalan palsu dan di Mahkamah Sesyen kerana memasuki negara ini tanpa dokumen sah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki kad pengenalan dengan maklumat pengenalan diri palsu menggunakan surat beranak milik Sharif Abdilla di No. 19, Jalan Seri Mangga 2/5, Taman Seri Mangga, di sini pada pukul 7 malam, 8 Mac lalu.

Dia didakwa di bawah Peraturan 25(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak kurang RM3,000 dan tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Shahidani Abd. Aziz yang mengendalikan pendakwaan memohon agar tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin kerana dia ditahan di bawah SOSMA dan merupakan warga asing. - UTUSAN ONLINE


UrukHai.

Tuesday, 2 April 2013

Datuk Seri Muhammad Ridzwan Ditahan Bawah Akta SOSMA !! #LahadDatu


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib mengesahkan Datuk Seri Muhammad Ridzwan Sulaiman ditahan di IPD Ampang Jaya mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), di sini hari ini.

Bagaimanapun Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah itu menafikan penglibatannya dalam tragedi pencerobohan pengganas Kiram di Sabah.

Katanya, dia tidak pernah mengenali Jamalul Kiram yang didakwa Sultan Sulu sebaliknya hanya berkenalan rapat dengan pewaris asal kesultanan yang dikenali sebagai Sultan Muedzul-Lail Kiram


Kredit GPB


UrukHai.

Sunday, 31 March 2013

Orang Kuat Datu Piah Ditembak Polis !! #LahadDatu #OpDaulat

BEBERAPA anggota polis mengangkat mayat Salib yang mati ditembak di sebuah rumah di Simunul, Semporna semalam.

LAHAD DATU – Seorang panglima yang juga pengawal peribadi kepada Datu Piah mati selepas ditembak oleh pasukan keselamatan ketika menyerang polis di sebuah rumah atas air di Simunul, Semporna semalam.

Lelaki yang dikenali sebagai Salib Sampang atau Imam Mas berusia 50-an itu dipercayai adalah orang kuat Datu Piah yang menetap di kampung tersebut.
 
Dalam operasi pada pukul 10 pagi itu, pasukan keselamatan turut menahan enam orang termasuk dua wanita dengan salah seorang daripadanya dipercayai isteri kepada Salib serta seorang lelaki lain dikenali sebagai Totok.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, kejadian berlaku apabila sepasukan anggota keselamatan pergi ke perkampungan tersebut yang majoritinya didiami warga Filipina untuk melakukan operasi pemeriksaan.

Katanya, bagaimanapun, penghuni di salah sebuah rumah kayu di kampung itu enggan memberi kerjasama kepada pihak polis yang mahu memeriksa rumah tersebut.

“Apabila seorang pegawai berpangkat Deputi Superintendan memecahkan pintu, seorang lelaki yang bersenjata parang bertindak agresif menyerang dan cuba menetak pegawai itu bertubi-tubi.

“Ketika kejadian, pegawai polis itu bernasib baik kerana sempat mengelak manakala suspek yang enggan menyerah diri mati ditembak,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.


UrukHai

Saturday, 30 March 2013

Syukur Alhamdullilah, Musuh Kini Kurang Dari 10 Orang !! #LahadDatu #OpDaulat


Selepas 25 hari Operasi Daulat dilancarkan, pasukan keselamatan mengesahkan jumlah musuh kini kurang daripada 10 orang.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata angka itu mengambil kira jumlah musuh yang ditembak mati dan ditangkap berbanding bilangan musuh semasa mula bertapak di Kampung Tanduo, 12 Feb lepas iaitu kira-kira 200 orang.

“Saya tidak boleh mengatakan bahawa musuh tidak ada atau sebaliknya…kami yakin musuh memang ada tetapi jumlahnya amat berkurangan, mungkin kurang dari 10 orang,” katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.

Sepanjang insiden pencerobohan, pasukan keselamatan menembak mati 68 militan, manakala 121 individu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan 443 ditahan atas pelbagai kesalahan lain.

Beliau berkata gerakan ofensif yang disusuli operasi menggeledah dan membersih sehingga kini berjaya membersihkan tiga dari lima kampung yang menjadi lokasi persembunyian dan pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan pengganas.

Hamza berkata selepas Kampung Tanduo, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Labian dibersihkan, pasukan keselamatan kini memberi tumpuan kepada kawasan Tanjung Bilis dan Lok Buani.

Beliau berkata penduduk Kampung Tanjung Labian akan dibenar pulang selepas ketua-ketua keluarga dan ketua kampung dibawa melawat ke kediaman mereka bersama-sama pasukan penilaian esok.

Bagi penduduk Kampung Tanjung Batu, Hamza berkata seramai 20 hingga 25 penghuni yang rumah mereka tidak mengalami kerosakan teruk akan dibenar pulang ke rumah masing-masing esok, manakala pemilik yang rumahnya musnah dibenar untuk terus tinggal di pusat pemindahan sementara.

Beliau berkata sebagai langkah keselamatan, anggota keselamatan akan terus ditempatkan di kampung berkenaan untuk berkawal dan mendominasi kawasan itu.

“Selain itu kami juga akan melaksanakan khidmat kepolisan lain untuk memulihkan keyakinan penduduk apabila berada di kampung itu,” katanya. – Bernama


UrukHai

Tuesday, 26 March 2013

Krisis bersenjata di Sabah tidak akan berpanjangan: Panglima Tentera !! #LahadDatu #OpDaulat


Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain yakin insiden pencerobohan di Sabah dapat diselesaikan dalam masa terdekat berikutan sokongan dan kerjasama penduduk tempatan.

“Kebelakangan ini penduduk tempatan semakin berani menyalurkan maklumat mengenai musuh negara,” katanya sambil menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya insiden pencerobohan pengganas Sulu di Sabah yang menggunakan taktik perang gerila akan berpanjangan.

Beliau berkata kerjasama orang ramai itu juga membolehkan pasukan keselamatan menangkap panglima pengganas Sulu bersama isterinya di kawasan paya di Semporna, Sabtu lepas.

Zulkifeli berkata demikian kepada pemberita semasa majlis makan tengah hari bersama media, pegawai tentera laut dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di atas kapal perang KD Kelantan yang berlabuh di Markas Wilayah Laut 3 sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (Lima 2013) semalam.

Sehingga kini 65 musuh ditembak mati manakala 110 ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012 dan 416 yang lain ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk berada dalam zon larangan Operasi Daulat.

Zulkifeli berkata malah ada sesetengah operasi pasukan keselamatan untuk menangkap pengganas itu disertai penduduk kampung.

“Kekuatan pengganas Sulu sudah semakin lemah apabila ketua mereka lari meninggalkan anggota lain dan stor-stor simpanan senjata musuh yang ditanam berjaya ditemui pasukan keselamatan,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan pengganas Sulu yang melarikan diri itu akan berpatah balik tetapi pasukan keselamatan akan sentiasa berada dalam keadaan bersedia.

“Saya baru pulang dari Lahad Datu malam semalam, sekarang ini kita sedang buat operasi pembersihan di Kampung Tanjung Batu, kita akan menguasai kawasan itu dengan meletakkan pasukan keselamatan kita,” katanya. – Bernama


UrukHai.

Azzimudie Kiram Akan Dihadapkan Di Mahkamah Malaysia !! #LahadDatu


Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, Azzimudie Kiram yang mendakwa dirinya sebagai Raja Muda Kesultanan Sulu akan berhadapan dengan perbicaraan di Malaysia kerana mengetuai pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah pada Februari lepas.

“Saya tidak kisah sekiranya (dia) rakyat Malaysia atau tidak... dia melakukan kesalahan dan dia akan didakwa,” katanya pada sidang media di pejabat beliau di sini, Isnin.

Azzimudie, yang turut digelar Agbimuddin, dilaporkan telah meninggalkan negara dan pergi bersembunyi sejak 11 Mac apabila pasukan keselamatan Malaysia melancarkan operasi serangan ofensif untuk menyingkirkan 200 anggota pengganas bersenjata Sulu yang diketuainya dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Pembangkang kemudiannya mendakwa bahawa terdapat maklumat yang mendakwa Azzimudie pernah berkhidmat sebagai pembantu pegawai daerah di Sabah.


UrukHai.

Pengganas Itu Lari Dan Kemudian Serah Diri ??!! #LahadDatu #OpDaulat


Seorang pengganas Sulu ditahan selepas menyerah diri ketika terserempak dengan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi penggeledahan di Tanjung Batu, di sini, lewat hari Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, sepasukan unit Gerak GempurKhas (GGK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang melakukan operasi di satu kawasan paya sebelum terserempak dengan pengganas itu.

Dia kemudian melarikan diri sebelum dikejar dan akhirnya menyerah diri.

Lelaki dipercayai tanpa senjata itu menyerah diri dengan mengangkat tangan dan meminta pasukan keselamatan tidak melepaskan tembakan terhadapnya. Difahamkan dua kereta perisai berantai dikerahkan untuk operasipemantauan berterusan bagi mengesan pengganas lain.

Kereta perisai itu dipercayai dikerahkan kerana bimbang penyerahan diri yang dilakukan itu sebagai taktik kotor untuk pengganas lain melepaskan tembakan terhadap pasukan keselamatan.

Bagaimanapun, sebaik mendapati tiada yang mencurigakan dan tidak membahayakan, pasukan keselamatan menahan pengganas berkenaan.

Pengganas itu kemudian diserahkan kepada pasukan VAT69 dan dibawa ke lokaptahanan sementara untuk disoal siasat.

Panglima Tentera Darat Jen. Tan Sri Dato' Seri Zulkifli Zainal Abidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pula berkata pasukannya(VAT69) telah menerima pengganas tersebut dari GGK ATM dan sidang media bersamaATM akan diadakan esok.

Sehingga kini, jumlah tahanan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) meningkat kepada 111 orang, pengganas ditembak mati 67 dan mayat dibawa keluar 42. - BERNAMA



UrukHai.

Saturday, 23 March 2013

[VIDEO] Proses Pembersihan Dan 'Fogging' Di Tempat Pengganas Sulu Dijumpai !! #LahadDatu #OpDaulat


Proses pengasapan dan pembersihan kawasan bekas lubang penemuan mayat-mayat pengganas Sulu giat dilakukan oleh cawangan kesihatan markas divisyen pertama, infantri Angkatan Tentera Malaysia.

Menurut Penolong Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Markas, Kolonel Doktor Adnan Abdullah, proses itu perlu bagi memastikan kesihatan anggota keselamatan yang bertugas di kawasan terbabit terjamin.


Beliau ditemui selepas membuat tinjauan aktiviti pengasapan di kawasan penempatan anggota keselamatan dan kawasan sekitarnya.

Selain itu, aktiviti semburan lalat dan nyamuk turut diadakan bagi mencegah wabak penyakit seperti denggi dan malaria.

Sumber


UrukHai.

Mission Success!! Kampung Tanduo BEBAS Pengganas Sulu !! #Lahaddatu #OpDaulat


Well Done ATM !!!,..Sebenarnya Pasukan Keselamatan Malaysia amat hebat dalam apa jua rintangan yang mereka hadapi demi memastikan Malaysia sentiasa aman dan sentosa...

Anggota tentera akan mendiami Kampung Tanduo sebagai jaminan bahawa kampung yang menjadi lokasi pendaratan penceroboh militan itu bebas daripada ancaman pengganas, kata Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi memastikan penduduk yang mendiami 12 rumah di kampung itu kembali yakin dan bersedia untuk menjalani rutin harian mereka.

"Sebagai permulaan penempatan itu akan dilakukan dalam tempoh seminggu atau dua minggu dan tempoh itu sedia dipanjangkan bergantung kepada keadaan semasa.

"Ini bagi memastikan penduduk tidak berasa takut untuk menyambung semula rutin harian mereka selepas insiden pencerobohan itu," katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di Felda Sahabat di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kebimbangan sesetengah pihak kemungkinan "ada sesuatu yang disembunyikan dan belum diselesaikan" di kawasan itu selepas pasukan keselamatan enggan membenarkan penduduk kampung terbabit pulang ke rumah walaupun Kampung Tanduo diisytihar bersih dan bebas daripada ancaman kumpulan pengganas sejak 11 Mac lepas.

Sambil menafikan andaian itu, Zulkifeli berkata, tindakan itu dibuat kerana tentera dan polis terlalu komited dalam memastikan keselamatan penduduk benar-benar terjamin sebelum mereka dibenar pulang.

Beliau berkata, sebagai bukti kesungguhan pasukannya, beliau akan memastikan nelayan yang turun ke laut juga akan dikawal dan diringi pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia sepanjang tempoh itu.

Katanya, apa yang diharapkan adalah penduduk sama-sama menyalurkan maklumat bagi membolehkan pasukan keselamatan bertindak sekiranya terdapat individu atau berlaku insiden mencurigakan di kawasan mereka.

Pada sidang akhbar sebelum itu, Zulkifeli menjelaskan, penduduk Kampung Tanduo akan dibenar pulang selepas berakhirnya penilaian yang dilakukan Majlis Keselamatan Negara, Majlis Daerah Lahad Datu dan Ibu Pejabat Polis Lahad Datu di kampung itu yang akan bermula selewat-lewatnya esok.

Katanya, kelewatan membenarkan penduduk pulang ke rumah ialah bagi memastikan kewasan kampung itu yang di kelilingi paya, hutan dan semak samun, benar-benar selamat daripada ancaman selepas ia menjadi sasaran utama militan selain berlaku banyak pertempuran di situ sebelum ini.




UrukHai.

Thursday, 21 March 2013

Ternyata Nur Misuari Berbohong Dan Menjadi Kuda Tunggangan Anwar ??!! #LahadDatu


Akhirnya pembohongan Nur Misuari menuduh Kerajaan Malaysia yang menjadi penghalang kepada usaha menyatukan kumpulan Moro yang bertelagah menuntut kemerdekaan di selatan Filipina terbongkar..

Ikuti pendedahan yang dibuat oleh Mohammad Ameen, Ketua Sekretariat MILF mengenai niat jahat Nur Misuari terhadap Kerajaan Malaysia..


Ikuti Berita Dibawah : 

Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menolak dakwaan bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari kononnya Kerajaan Malaysia telah menggunakan MILF bagi memperkukuh tuntutannya ke atas Sabah dan bertanggungjawab mendorong perpecahan di kalangan rakyat Moro. 

Ketua Sekretariat MILF, Mohammad Ameen berkata, dakwaan itu adalah satu pembohongan dan palsu semata-mata. 

"Misuari melakukan dosa berat kerana membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan cuai terhadap MILF dan kerajaan Malaysia," beliau disebut sebagai berkata oleh Pusat Berita Luwaran. 

Serangan lisan terbaru Misuari itu disiarkan oleh Al-Jazeera, YouTube dan beberapa media arus perdana Malaysia di Kuala Lumpur semalam. 

Ameen mengingatkan Misuari bahawa Malaysialah yang telah menggesa pembentukan Persidangan Perpaduan Bangsamoro (BSC) pada 2002 demi menyatukan pelbagai puak dalam MNLF dan MILF dan menggalakkan pendirian bersama di kalangan mereka terutama untuk berurusan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). 

"Bagaimana pula boleh menggunakan MILF bagi mengukuhkan tuntutannya ke atas Sabah, bila Sabah tidakpun menjadi sebahagian daripada agenda rundingan damai sejak 2001?" kata Ameen. 

Ameen turut memberitahu Misuari bahawa Malaysia tidak pernah menawarkan diri untuk mengatur rundingan damai Kerajaan Filipina-MILF (GPH-MILF), tetapi Presiden Gloria Macapagal-Arroyo pada 2001 yang meminta Malaysia bertindak sebagai orang tengah antara dua pihak berkenaan setelah rundingan diadakan semula, selepas Presiden Joseph Estrada melancarkan perang terhadap MILF pada tahun 2000. 

Presiden Arroyo, dalam lawatan luar negaranya yang pertama sejak menjadi presiden selepas penggulingan Presiden Estrada, telah berkunjung ke Kuala Lumpur untuk secara rasmi meminta Malaysia mengatur rundingan damai GPH-MILF. 

"Malaysia setakat memberi respon ikhlas terhadap permintaan jiran yang baik," jelas beliau. 

Ameen juga mempersoal niat Misuari yang begitu beria-ia menyokong tuntutan Sabah sekarang sedangkan beliau tidak pernah menimbulkan isu itu sepanjang 21 tahun rundingan damainya dengan kerajaan Filipina. 

Sementara Perjanjian Damai Muktamad Kerajaan Republik Filipina-MNLF (GRP-MNLF) pada 1996 tidak pernah merujuk kepada tuntutan Sabah. - BERNAMA




UrukHai.

” Bab bau jangan ceritalah, bukan seorang, tetapi tiga!,” - Pengalaman Penduduk Uruskan Mayat Pengganas Sulu #LahadDatu #OpDaulat


Peristiwa enam pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia dibunuh dan diseksa di Kampung Simunul, Semporna, Sabah pada 2 Mac lalu tidak mungkin dapat dilupakan oleh seluruh rakyat di negara ini.

Dalam kejadian itu, tiga pengganas militan Sulu juga berjaya ditembak mati. Namun, disebabkan faktor keselamatan, tiga mayat pengganas tersebut tidak dapat dikeluarkan dalam insiden tersebut.

Memandangkan ia terbiar agak lama, mayat-mayat ketiga-tiga pengganas itu mula membusuk hingga meresahkan penduduk di kampung berkenaan.

Perkara tersebut kemudian disampaikan kepada ketua kampung, Ramlee Saraman.

Walaupun marah dengan pengganas yang terbunuh itu, namun Ramlee sedar sebagai orang Islam, mayat itu harus disempurnakan seperti yang dituntut syarak.


” Memang saya marah dengan yang mati itu, tetapi saya kena rasional dan tak boleh terikut-ikut dengan emosi…yang mati itu seagama dengan saya, saya tak boleh biarkan ia terus di situ, mayat mereka mesti diuruskan, bab dosa dan pahala mereka adalah urusan Allah.

” Lagipun saya faham benar keluh resah penduduk, bayangkan anak-anak mereka menggunakan laluan yang sama untuk ke sekolah, trauma mereka jadinya nanti.

” Bab bau jangan ceritalah, bukan seorang, tetapi tiga!,” katanya.

Ramlee bersyukur kerana pihak keselamatan memahami keresahan beliau dan penduduk kampung.

Malah, katanya, Ketua Polis Daerah sendiri bersedia menawarkan perlindungan keselamatan kepada beliau dan penduduk kampung sekiranya mereka mengambil keputusan untuk menguruskan mayat-mayat itu.

Menurut Ramlee, beliau kemudiannya bermesyuarat dengan penduduk kampung terutama pihak surau untuk mengangkat mayat-mayat itu dari lokasi kejadian.

Tetapi, katanya, seperti mana pasukan keselamatan, beliau dan penduduk kampung juga merasai kebimbangan yang sama, terutama memikirkan ‘perangkap’ yang mungkin dibuat oleh pengganas -pengganas Sulu yang lain ketika kerja mengangkat mayat itu dilakukan.

Apatah lagi, katanya, bila mengenangkan kemungkinan ada ‘pengkhianat’ di situ yang mungkin hendak membalas dendam terhadap kematian rakan-rakan mereka.

” Saya akhirnya nekad, dengan airmata yang berlinang, saya merayu kepada mereka yang ada di situ agar memberikan kerjasama dan tidak melakukan apa-apa kepada kami yang hendak mengangkat mayat yang terbujur kaku itu.

” Saya kata pada mereka, sebagai orang Islam, adalah menjadi tuntutan kita semua untuk menyelesaikan urusan kematian pengganas-pengganas Sulu ini, kita tidak boleh membiarkan kehadiran mayat-mayat itu menganggu kehidupan kita di kampung ini, ” katanya.

Ketika diminta menceritakan proses mengeluarkan mayat-mayat itu, Ramlee berkata, hanya Allah yang tahu betapa sukarnya mereka untuk berbuat demikian.

Menurutnya, kerja-kerja itu mungkin nampak mudah tetapi keadaan mayat yang mula membusuk telah merumitkan keadaan.

Tambahnya, mereka bimbang sekiranya ia tidak dilakukan secara berhati-hati, akan ada anggota tubuh pengganas ini yang akan ‘lerai’ kerana ia sudah membengkak.

” Selepas mayat itu kami angkat, kami letakkannya di simpang jalan…lalu saya hubungi pihak berkuasa yang kemudiannya membawa mayat-mayat itu ke hospital.

” Saya sempat melihat wajah-wajah mereka, ternyata ia bukan penduduk kampung ini, malah tiada siapa pun mengenali mereka kecuali mayat yang dalam sampan itu, ada penduduk mendakwa pernah melihat dia solat Jumaat di kawasan berhampiran, entah betul entahkan tidak,” katanya.

Dalam pertemuan kami itu, Ramlee turut meminta semua pihak agar tidak terus melabelkan kampungnya sebagai ‘kawasan hitam’ hanya kerana berlakunya insiden tersebut.

Katanya, beliau sedih kerana banyak pihak mula melabelkan kampung mereka sebagai sarang pengganas dan sebagainya.

Jelasnya, insiden tersebut adalah satu perbuatan yang tidak dapat dimaafkan tetapi tidak adil untuk menghukum semua yang ada di situ.

” Kampung ini banyak sejarahnya, ia telah mula dibuka sejak tahun 1939 dan sejak itu, kami semua hidup dalam aman dan harmoni.

” Benar, ada penduduk yang datang secara haram tetapi perkara begini bukan hanya berlaku di kampung ini…tetapi apa boleh buat, hidup mesti diteruskan.

” Mengenai pandangan banyak pihak yang mahu kampung kami dirobohkan, saya harap kalau ia benar-benar dilaksanakan, kebajikan penghuni perlu diambil kira, kami ini kebanyakannya nelayan, sebab itu rumah kami dibuat di tepi laut…kalau ia dibuat di lokasi yang terlalu jauh, ia sudah tentu menyukarkan keadaan,” jelasnya.




UrukHai.

Wednesday, 20 March 2013

Presiden Filipina Mengigatkan, Pencerobohan Di Sabah Dikenali Sebagai Pembunuhan Jabidah ??!! #LahadDatu #OpDaulat


Presiden Filipina, Benigno Aquino melihat pencerobohan di Sabah oleh pengikut Jamalul Kiram III adalah satu pengulangan sejarah, ketika bekas Presiden, Ferdinand Marcos melancarkan rancangan untuk menceroboh Sabah pada 1968, yang dikenali sebagai pembunuhan Jabidah.

Media Filipina melaporkan, Aquino menyamakan kedua-dua kejadian tersebut sebagai tindakan menggadaikan nyawa penduduk Islam bangsa Moro untuk kepentingan diri pihak tertentu, ketika orang yang menjadi dalang hidup dengan selesa.

"Tidakkah kita melihat pengulangan sejarah dalam kejadian di Sabah yang berlaku beberapa minggu lalu. Apa yang berlaku di Lahad Datu adalah satu tragedi seperti mana yang berlaku di Jabidah.

"Namun, tragedi yang lebih besar adalah kita tidak belajar daripada apa yang berlaku sebelum ini, iaitu mematuhi dan menghormati undang-undang sebagai jalan terbaik menghadapi cabaran yang dihadapi," katanya ketika merasmikan ulang tahun Pembunuhan Jabidah ke-40 di sini, semalam.

Pembunuhan Jabidah yang juga dikenali sebagai Pembunuhan Corregidor berlaku selepas Marcos melancarkan rancangan rahsia untuk menceroboh Sabah.


Apabila pelatih beragama Islam yang ditempatkan di Corregidor pada 3 Januari 1968 enggan mengambil bahagian dalam misi itu selepas mengetahui rahsia berkenaan, mereka dibunuh oleh pegawai mereka pada 18 Mac 1968.

Aquino turut mengkritik dalang utama dalam pencerobohan di Lahad Datu, Sabah yang menyaksikan Malaysia melancarkan serangan udara dan darat.

"Di sebalik memberitahu pengikut mereka supaya pulang kerana nyawa lebih penting, ketuanya (Jamalul Kiram III) terus mendesak dan membangkitkan kemarahan. Ini yang boleh saya katakan, jika orang lain menganggap nyawa penduduk Moro tidak penting, pandangan ini adalah salah.

"Atas alasan ini, saya meminta adik Jamalul Kiram, Azzumudie dan pengikutnya supaya berundur dan pulang kerana keganasan tidak membawa apa-apa hasil dan hanya perbincangan merupakan pendekatan lebih produktif," katanya. - AGENSI


Sumber GPB


UrukHai.

Anggota Keselamatan Alami Kejadian Aneh Di Lahad Datu ??!! #LahadDatu #OpDaulat


Sepertimana yang kita tahu krisis pencerobohan sulu terhadap sabah sudah berlarutan lebih 2 minggu dan pelbagai kejadian yang berlaku dan beberapa anggota keselamatan kita telah terkorban. Tahu kah korang dimana ia bukanlah satu petermpuran biasa sewaktu Ops Daulat kerana sewaktu pertempuran dengan pengganas Sulu dikatakan Anggota Keselamatan alami kejadian aneh di lahad datu Angkara ilmu hitam puak Pengganas Sulu.

Ikuti kisah yang belaku sewaktu pertempuran dengan puak Pengganas Sulu sewaktu 'Ops Daulat'

Pengamalan dan penggunaan ilmu hitam oleh pengganas Sulu bukan cerita rekaan atau dakwaan semata-mata. Tetapi itulah antara cabaran yang terpaksa dilalui oleh anggota keselamatan yang bertugas di barisan hadapan 'Ops Daulat'.


Meskipun tidak dapat diterima dalam kehidupan realiti, tetapi penggunaan ilmu hitam oleh pengganas berkenaan termasuk menggunakan pelbagai tangkal tidak boleh terus ditolak.

Ini dibuktikan apabila sebahagian besar mayat pengganas yang ditemui memakai tangkal sama ada di diikat di pinggang ataupun di celah kelangkang.


PENGGANAS Sulu yang ditembak mati oleh pasukan keselamatan Malaysia Memakai tangkal dipercayai untuk menjadi kebal


Walau bagaimanapun, dengan menaruh keyakinan kepada Allah dan berjuang dengan ikhlas pasukan keselamatan tetap berjaya menewaskan musuh-musuh berkenaan meskipun mereka (pengganas Sulu) menggunakan ilmu syaitan.

Menuruh sumber, usaha gempur pengganas Sulu dalam 'Op Daulat' sebenarnya amat mencabar memandangkan terdapat dalam kalangan mereka mengamalkan kepercayaan karut itu.

"Pengganas seakan-akan kebal apabila pasukan keselamatan terpaksa menembak bertalu-talu bagi menumbangkan mereka. Setakat sekali tembak tidak akan membuatkan pengganas itu tewas," katanya.

Menurut sumber itu, usaha menjejaki pengganas berkenaan juga pada mulanya agak buntu kerana pasukan keselamtan tidak dapat mengesan tempat persembunyian musuh.

Dalam pada itu, katanya, pasukan keselamatan juga pernah dikejutkan dengan kelibat dua pengganas Sulu berpakaian hitam dan putih mara ke arah pasukan keselamatan yang melepaskan tembakan tetapi tidak mengenai mereka.

Bayangkan...anggota kita meronda dibawah pohonan kelapa sawit..mereka mampu terbang dan bergerak pantas di celah2 ranting pokok. Tembakan dihambur bertalu2..sikit pon tak lut. 

"Apabila dilaungkan azan barulah kelibat itu hilang dan pasukan keselamatan dapat mara," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan berbangsa Suluk yang hanya ingin dikenali sebagi Pak Amril berkata, antara tangkal yang dipakai pengganas Sulu tersebut dikenali 'al-Quran Istanbul' yang kononnya akan membuatkan seseorang menjadi kebal.

Namun demikian, anggota Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) sentiasa menasihati anggota keselamatan untuk berhadapan dengan situasi itu.


Anggota keselamatan sentiasa dinasihatkan untuk memohon pertolongan Allah sebelum memasuki kawasan operasi untuk memburu pengganas Sulu.

Seorang Perwira menceritakan bagaimana satu kelopak pelurunya dihambur namun sebiji pun tak memberi kesan. Akhirnya..dia yg mempunyai sedikit ilmu, membenamkan peluru ke tanah, dan membaca beberapa surah Al Quran. Peluru itulah yg menembusi tubuh penceroboh itu yg akhirnya tumbang menyembah bumi.

Rakyat Malaysia yg sayangkan negara,yang sayangkan perajurit-perajurit kita..sama2 lah kita menadah tangan dan berdoa, untuk keselamatan dan kejayaan mereka di sana..in shaa allah..(lebih bagus kalau boleh buat solat hajat)..

*Ya Allah, selamatkanlah pejuang-pejuang kami yg sedang bertempur di Lahad Datu dan sekitar Sabah..Ya Allah, lindungilah mereka daripada pandangan dan sasaran musuh durjana..Ya Allah tuhan yg maha berkuasa atas sesuatu, Kau tumbangkanlah musuh-musuh negara kami itu Ya Allah..sesungguhnya tiada daya dan upaya kami melainkan dengan pertolongan dan kekuasaan-Mu Ya Allah..wa laa haula wa laa kuwwata 'illaa billaah..amiiinn..amiinn..amiinn..ya robbal 'alamiinn..



Sumber Anak Seberang  & Sumber


UrukHai.

Monday, 11 March 2013

PDRM In Action !! #LahadDatu#PrayForSabah#OpDaulat !!


Penugasan pegawai-pegawai PDRM dalam Op Daulat demi menjaga keamanan, keselamatan dan kedaulatan negara. Pihak PDRM sentiasa membuat kawalan yang ketat bagi menjamin keselamatan penduduk-penduduk sekitar kawasan Lahad Datu.

Gambar semalam yang diambil dari FB Polis Diraja Malaysia dimana kelihatan anggota UTK mulakan tugas untuk menjejaki dan menghapuskan saki baki lanun lanun yang menceroboh negara.














UrukHai.

Wednesday, 6 March 2013

#Ops Daulat : Pendedahan Gambar Mayat Di Sebuah Lubang Kubur !




Sehingga kini,anggota keselamatan kita baik tentera dan polis berada dalam keadaan selamat serta tiada kecederaan. Syukur Alhamdullilah.




UrukHai.