Aksi komedi solo Zizan daripada kumpulan Jozan yang tidak konsisten pada Maharaja Lawak Mega (MLM) 2012 sejak dua minggu lalu bakal terubat apabila pasangannya Johan dijangka membuat kemunculan mengejut pada pentas akhir, malam Jumaat (malam ini).
Pengurus Zizan Razak, Marina Juki berkata, pihaknya berharap pasangan Zizan iaitu Johan akan muncul pada malam Jumaat seperti yang diluahkannya ketika dihubungi pihaknya pada Khamis.
“Ketika Zizan menghubungi Johan semalam (Khamis), dia memang teringin untuk beraksi pada malam ini. Kami masih belum dapat sahkan sama ada Johan benar-benar akan muncul atau tidak.
“Kalau diikutkan doktor tidak benarkan dia berjalan jauh kerana keadaan kesihatannya tetapi Johan mahu beraksi pada pentas akhir,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.
Prestasi komedi Zizan didakwa merosot sejak ketiadaan Johan dua minggu lalu kerana kecederaan ligamen sehingga memaksa dia menjalani pembedahan pada bahagian lutut pada 26 Disember lalu.
Pentas akhir MLM 2012 akan diadakan di Stadium Tertutup Johor Bahru, Johor dan bersiaran secara langsung pada pukul 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Mustika HD (saluran 134).
Marina berkata, sebagai persediaan, Zizan sudah menyediakan dua set komedi iaitu untuk aksi solo dan berkumpulan jika Johan muncul secara mengejut pada saat-saat akhir.
“Sebelum ini, Zizan memang susah hati dan bimbang untuk beraksi sebab tiada Johan.
“Mereka berbual dalam telefon dan Johan ada memberikan idea dan kata-kata semangat.
“Zizan sudah siapkan pilihan komedi A dan B untuk aksi solo dan berkumpulan,” katanya.
Tambahnya, kemunculan Johan pada saat-saat akhir adalah tidak mustahil dan tidak menjejaskan persiapan kerana keserasian mereka mampu menghasilkan komedi spontan.
“Kalau betul Johan akan muncul seperti yang dikatakan, ia tidak mustahil kerana mereka boleh hasilkan komedi secara spontan.
“Sama ada benar atau tidak Johan akan muncul, ia belum dapat disahkan lagi kerana saya masih menunggu jawapan daripada pihak Johan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, pihaknya masih tidak dapat mengesahkan sejauh mana kesahihan kononnya Johan bakal muncul bersama Zizan pada pertandingan akhir, malam ini.
“Kami tidak pasti sama ada dia (Johan) akan beraksi malam ini atau tidak. Ia mungkin juga strategi mereka, kita tidak tahu.
"Apa pun, kami tidak mahu bertanyakan kepada Johan kerana mahukan kejutan pada malam nanti,” katanya.
Sementara itu sumber memberi tahu Johan sedang berusaha untuk mendapatkan kebenaran pihak hospital bagi membenarkan beliau menyertai pentas akhir MLM2012 malam Jumaat.
Jozan merupakan naib juara Maharaja Lawak (ML) pada 2011.
UrukHai.
No comments:
Post a Comment