Tuesday, 16 April 2013

Senarai Calon BN Jadi Tumpuan !! #PG13 #VoteBN #PG13 #PRU13 #GE13


Semua mata kini tertumpu kepada senarai calon Barisan Nasional (BN) yang akan diumumkan serentak di 14 negeri pada Selasa di mana perhatian lebih diberikan kepada calon di Selangor, Kedah, Johor dan Melaka.

Bagi Selangor dan Kedah yang cuba dirampas kembali BN selepas tewas kepada Pakatan Rakyat pada 2008, senarai itu akan mengenal pasti calon Menteri Besar negeri tersebut sekiranya BN menang.

"Selangor akan menyaksikan perubahan besar. Pada perkiraan terakhir, bilangan calon baru adalah kira-kira 70%. Itu hanya melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Untuk senarai calon kerusi Parlimen di Selangor, perubahan boleh jadi 60% atau lebih besar," kata sumber dalaman parti pada Ahad.

Sumber berkata, jika BN menawan semula Selangor, sudah pasti calon Menteri Besar adalah seseorang yang baru dan tidak dikenali ramai.

Tiga calon pilihan untuk jawatan itu adalah Naib Ketua Umno Bahagian Tanjung Karang, Datuk Shamsuddin Rais, Ketua Umno Bahagian Subang Dr Bushro Mat Johor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Datuk Seri Subahan Kamal.

Bagi Kedah, sumber BN yakin terhadap prestasi parti itu di negeri tersebut kerana kerajaan PAS yang menerajui negeri itu dilihat dalam keadaan kucar-kacir ekoran masalah dalaman parti.

Sementara itu, tiga calon pilihan bagi jawatan Menteri Besar Kedah adalah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah dan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Latt Shariman Abdullah yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah.

"Malah di Kedah, bilangan muka-muka baru adalah kira-kira 50% tetapi kebanyakan mereka akan bertanding di kerusi Parlimen," kata seorang pemimpin BN.

Tidak ketinggalan, Johor turut akan mempunyai Menteri Besar baru tanpa mengira apa jua keputusan pertemuan di antara Datuk Abdul Ghani Othman dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang di kerusi Parlimen Gelang Patah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Walaupun Pakatan Rakyat menyatakan hasrat untuk merampas kubu kuat BN di Johor, BN dijangka akan mempertaruhkan senarai calon hebat untuk kekal berkuasa di negeri itu.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed dikatakan sebagai calon pilihan untuk menggantikan tempat Ghani.

Sumber berkata, kira-kira 300 calon BN pada pilihan raya umum 2008 akan digugurkan kali ini.

Najib yang juga Pengerusi BN akan menyerahkan surat tauliah calon parti itu kepada Pengarah Pilihan Raya BN negeri dalam satu majlis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Isnin.

Pengarah setiap negeri kemudiannya akan menyerahkan surat tersebut kepada calon-calon untuk kerusi Parlimen dan DUN di negeri masing-masing.


UrukHai.

No comments:

Post a Comment