Sunday, 24 February 2013

3 Ribu RELA Sambut Hishammudin Di Nibong Tebal !!


Bertempat di USM Trans Krian Nibong Tebal Pulau Pinang hari ini , 3 ribu anggota RELA berjaya dikumpulkan dalam satu program bersama Menteri Dalam Negeri YB Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.Kehadiran beliau di sambut dengan penuh meriah para anggota RELA yang menunggu ketibaan beliau seawal jam 10.00 pagi tadi.

Dalam majlis tersebut Datuk Hishamuddin turut mengingatkan para sukarelawan khususnya anggota RELA supaya memperkuatkan semangat dan jati diri masing-masing.

YB Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein mengingatkan gerakan kesukarelaan bukan  untuk menanam kebencian, menabur fitnah atau  melaga-lagakan antara  kaum, tetapi untuk penyatuan  dan untuk  keamanan.

Malah ia sekaligus mewujudkan gelombang untuk  mematahkan arus kebencian, perpecahan, pertembungan kaum, budaya, agama, serta menolak aktiviti  keganasan.







Sumber Artikel Oleh MMI

Petikan Dari Sinar Online Sewaktu PC...


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin Polis Diraja Malaysia dapat membongkar dua lagi sindiket pemerdagangan bayi di negara ini dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan kejayaan membongkar dua sindiket pemerdagangan bayi dalam operasi 'Ops Pintas Sayang I dan II' yang dilakukan polis Pulau Pinang.

"Ada lagi tahanan akan dibuat dan bayi-bayi diselamatkan...dalam Ops Pintas Sayang I polis menyelamatkan 10 orang bayi manakala dalam Ops Pintas Sayang II seramai 22 bayi diselamatkan.

"Kami juga akan menjalin bekerjasama rapat dengan badan bukan kerajaan, Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan beberapa agensi berkaitan untuk membanteras sindiket pemerdagangan bayi ini," katanya kepada pemberita selepas program bersama Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Dewan Utama, Universiti Sains Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri juga akan bekerjasama dengan agensi antarabangsa di negara transit yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan bayi seperti China, Bangladesh dan Australia.

"Kerjasama dengan pasukan risikan di peringkat antarabangsa amat diperlukan agar sindiket ini dapat dibanteras, dan yang bersalah dibawa ke muka pengadilan dan didakwa mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007," katanya.

Hishammuddin juga menjelaskan bahawa pemburuan suspek yang terlibat dengan sindiket pemerdagangan bayi bukan bertujuan menghukum ibu bapa yang membeli bayi itu, sebaliknya melindungi bayi terlibat dari aspek perundangan demi masa depan mereka.

"Sekiranya bayi-bayi itu mempunyai sijil kelahiran atau dokumen yang diperoleh daripada saluran yang salah atau tidak sah akan timbul masalah apabila mereka besar dan mahu bersekolah, ini akan menjejaskan masa depan mereka.

"Kita akan cari jalan penyelesaian untuk masalah ini, jika tidak bersalah jangan rasa takut, kesemua bayi dan kanak-kanak yang diselamatkan akan ditempatkan di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Pada 22 Feb lepas, polis Pulau Pinang berjaya menyelamatkan 22 orang bayi dan kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa sindiket terbabit dan menahan 45 orang dalam Ops Pintas Sayang II.

Terdahulu pada 24 Jan, polis Pulau Pinang membongkar sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang bergerak aktif di negeri ini, Kedah dan Perak apabila menahan 33 individu dan menyelamatkan lapan bayi serta seorang kanak-kanak. - Bernama


UrukHai.

No comments:

Post a Comment