Budaya politik samseng tidak berlaku dalam negara demokrasi dan peristiwa berdarah 13 Mei 1969 tidak perlu berulang kembali di Malaysia kata, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.
"Ini negara aman. Peristiwa 13 Mei, ada unsur komunis dan macam-macam lagi. Jadi, mana-mana parti politik tidak perlu membawa budaya barat untuk meraih kemenangan politik khususnya di dalam pilihan raya.
"Seharusnya pemilihan kerajaan tidak perlu wujud perkara yang boleh menimbulkan masalah keselamatan yang boleh menggugat kesejahteraan," katanya ketika menjadi panel dalam Wacana Sinar Harian, Politik Samseng Di Manakah Maruah Kita, di Auditorium Karangkraf, pada Khamis.
Musa berkata budaya reformasi untuk menjatuhkan kerajaan tidak perlu diamalkan di Malaysia.
"Jika mahu demokrasi perlulah mengikut saluran yang betul. Pihak polis bertanggungjawab mencegah. Jangan anggap polis musuh tapi sebagai kawan.
"Kalau dulu, hanya empat orang detektif boleh mengawal satu ceramah dan tak adalah sampai pening kepala macam yang berlaku sekarang ini" katanya.
Menurutnya, pindaan terhadap undang-undang baru yang diperkenalkan sedikit sebanyak memberi kesan terhadap budaya politik samseng yang berlaku.
"Undang-undang baru ini beri kebebasan yang lebih kepada parti politik adakan ceramah. Jika dulu mereka perlu mohon permit untuk adakan ceramah, sekarang tak perlu mereka hanya perlu hantar notis sahaja. Polis perlu lebih bersiap sedia. Jika mereka lihat ada unsur-unsur pergaduhan perlu segera hentikan," katanya.
Beliau menegaskan, setiap pemimpin politik perlu mengawal penyokong mereka daripada membuat perkara di luar jangkaan.
"Ahli politik perlu bersikap ‘gentleman’. Ditambah senario politik hari ini jauh berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini khususnya pada hari mengundi.
"Jika dahulu, hari mengundi seperti pesta, semua orang keluar bersama-sama tidak mengira parti. Tetapi sebaliknya hari ini di mana ada yang sanggup membaling botol dan sebagainya," katanya. Jelasnya, perkara ini berlaku disebabkan wujudnya politik kebencian yang dipupuk sesetengah ahli politik.
"Perkara sedemikian telah mewujudkan suasana politik tidak sihat dan ala samseng. Jika pemimpin tidak mengawal ahli, inilah yang berlaku seperti di negara Arab, banyak keganasan berlaku. Pemimpin jangan sesekali menggalakkan keganasan politik serta pergaduhan," katanya.
Katanya, negara demokrasi perlu adanya pembangkang yang baik dan bukannya hanya tahu membangkang sahaja supaya adanya 'check and balance' dalam urusan mentadbir negara.
"Pembangkang penting untuk mengelakkan kerajaan bermaharajalela. Tetapi pembangkang itu perlulah berkualiti dan tahu peranan mereka," katanya.
Musa berkata budaya politik di Malaysia jauh berbeza dengan negara barat kerana di sini mereka terus berpolitik walaupun sudah habis pilihan raya.
"Saya lihat, politik tidak pernah habis dengan menyalahkan pihak lain tanpa memikirkan pembangunan negara.
Adalah lebih baik mereka duduk semeja dan membincangkan pembangunan negara," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan pula menyarankan agar satu memorandum persefahaman (MoU) perlu diadakan antara calon-calon yang bertanding dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengelakkan salah faham dan budaya ‘politik samseng’ ketika PRU13.
Beliau mencadangkan agar calon-calon dan penyokong parti-parti politik yang bertanding boleh mengikuti tatacara dan undang-undang semasa PRU13 dijalankan tidak lama lagi.
“PRU13 merupakan satu medan kepada wakil parti menunjukkan kebolehan mereka untuk memimpin. Justeru, sebagai pemimpin, kita perlu beri kerjasama dengan SPR,” katanya.
Jelasnya, pemimpin politik juga harus memberi kerjasama kepada SPR dan pihak polis bagi mengawal pengundi semasa PRU.
“Sebagai pemimpin, tidak salah jika kita beri kerjasama. Ikut sajalah tatacara undang-undang yang sedia ada di dalam negara ini.
“Jika ada calon bersalah dan terlibat dalam politik samseng, kita sentiasa terbuka jika polis mengambil tindakan kepada mana-mana pemimpin yang bersalah,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan MIC berkata, jika pemimpin parti didapati bersalah, kepimpinan Barisan Nasional (BN) tidak teragak-agak untuk melucutkan jawatan pemimpin yang terlibat.
“Apa yang saya boleh katakan di sini, saya sebagai wakil rakyat akan sentiasa membuat perubahan kepada diri saya sendiri. Apa yang saya boleh ubah, saya akan cuba berubah menjadi pemimpin yang baik.
“Saya yakin ahli politik di negara ini mempunyai etika, jika tidak, mereka tidak akan kekal lama sebagai ahli politik atau pemimpin parti, jadi untuk memudahkan perjalanan, kita ikut sajalah undang-undang yang ditetapkan,” ujarnya.
UrukHai.
No comments:
Post a Comment