Wednesday, 14 November 2012

PERDA tawar tanah untuk di bina rumah PR1MA



 Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) sedia menawarkan tanah miliknya bagi pembinaan rumah mampu milik di bawah Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA).

Pengerusinya, Datuk Azhar Ibrahim berkata, agensi itu tidak membina rumah di bawah PR1MA kerana ia dikendalikan oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) namun sedia membantu pihak terbabit sekiranya ada permintaan.

Namun menurutnya, Perda tetap membina rumah kos rendah dan sederhana rendah yang dijual kepada mereka yang memerlukan selain membina rumah percuma kepada golongan miskin tegar yang tersenarai di bawah e-Kasih.

"Buat masa ini kita telah membina 42 buah rumah di bawah Projek Perumahan Kesejahteraan Rakyat (PPKR) di Penaga dan 60 buah di Bukit Indera Timbalan, Nibong Tebal.

"Selain itu 57 buah rumah PPKR lagi sedang dibina di atas tanah Perda seluas 2.032 hektar di Simpang Tiga Tok Alang, Tasek Gelugor yang dijangka siap September tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu mengadakan lawatan ke Projek Industri Tekstil (Printex) di bawah Perda di sini semalam yang turut dihadiri Pengurus Besar Perda, Saringat Hassan.
Printex adalah projek bimbingan Perda yang dimulakan sejak 2009 dengan memfokuskan bengkel jahitan pakaian seragam sekolah yang diusahakan tiga penduduk Projek Perumahan Masyarakat Setempat Kampung 20 dekat sini.

Azhar menambah, Printex kini diamanahkan menjahit pakaian seragam sekolah untuk murid perempuan yang akan menerima bantuan persekolahan daripada Perda penghujung tahun ini.

"Kualiti pakaian seragam yang dijahit mereka setanding dengan yang ada di pasaran dan mereka bersedia menerima tempahan daripada pihak luar yang berminat.

"Pada tahun hadapan semua peserta ini akan dihantar menjalani kursus jahitan pakaian seragam sekolah bagi pelajar lelaki bagi meningkatkan kemahiran mereka," ujarnya.

Sementara itu Saringat menjelaskan, peserta program berkenaan juga menerima bantuan daripada Pusat Urus Zakat Pulau Pinang dan mereka mampu memenuhi tempahan pihak luar terutama pada musim perayaan.

Jelasnya, mereka yang berminat membuat tempahan baju kurung boleh menghubungi ketua program itu, Salbiah Ahmad menerusi 017-4514470

Sumber klik sini.

UrukHai.

No comments:

Post a Comment